WASHINGTON, 14 MEI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meneruskan perselisihan dengan penasihat perubatan terkenal, Anthony Fauci mengenai tindakan melonggarkan sekatan perintah berkurung, berkata mereka ‘tidak bersetuju’ terutamanya berkaitan pembukaan sekolah dan universiti.
Trump dan Pengarah Penyakit Berjangkit Institut Kesihatan Nasional itu ‘tidak sehaluan’ dalam isu sama ada pelajar harus kembali ke sekolah dan universiti pada September, sekali gus menjadi titik tolak perselisihan antara Rumah Putih dan pakar perubatan mengenai seberapa segera tindakan diambil bagi membuka semula negara ini.
Trump ketika bercakap kepada media di Rumah Putih, berkata bahawa beliau ‘tidak dapat menerima’ gesaan terbaharu Fauci supaya pembukaan semula perlu dilaksanakan dengan lebih berhati-hati.
“Kita membuka seluruh negara ini seperti yang diingini oleh rakyat, sekolah juga akan dibuka,” kata Trump.
Fauci, yang juga pakar penyakit berjangkit yang dihormati di dunia dan penasihat utama Trump sepanjang pandemik COVID-19, memberitahu Kongres pada Selasa bahawa tindakan mengakhiri sekatan perintah berkurung terlalu cepat akan memberi risiko ‘sangat serius’.
“Timbulnya risiko sebenar yang kita perlu fahami bahawa kita akan mencetuskan wabak yang mungkin tidak dapat kami kawal,” katanya.
Ia sekali gus bertentangan dengan desakan Trump yang membelakangkan nasihat dan pandangan berkaitan darurat kesihatan, sebaliknya memberi fokus untuk membuka semula ekonomi AS.
Fauci memberi amaran bahawa pembukaan terlalu awal akan membenarkan COVID-19 kembali merebak, yang akhirnya akan menjejaskan usaha untuk memulihkan semula ekonomi dengan lebih pantas. – AFP
