Friday, February 21, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump hasrat kenakan tarif kereta import sekitar 25 peratus

    WASHINGTON, 19 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata kelmarin bahawa beliau berhasrat untuk mengenakan tarif sekitar 25 peratus ke atas kereta import, dengan butiran lanjut akan diumumkan pada 2 April, lapor Xinhua.

    “Saya mungkin akan memberitahu awda pada 2 April, tetapi ia dalam lingkungan 25 peratus,” kata Trump dalam satu sidang media di kediamannya di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida.

    Trump turut menyatakan bahawa tarif ke atas farmaseutikal dan cip pada mulanya akan ditetapkan sekitar 25 peratus dan akan ‘lebih tinggi secara ketara’ dalam tempoh setahun.

    Trump mendakwa bahawa tarif itu akan menggalakkan syarikat untuk kembali ke AS dan jika mereka mendirikan kilang di dalam negara, cukai tersebut akan menjadi sifar.

    Beliau berkata bahawa beberapa syarikat besar telah menyatakan minat untuk kembali ke AS disebabkan dasar ekonomi negara berkenaan cukai, tarif dan insentif.

    Pada 10 Februari, Trump menaikkan tarif ke atas aluminium dari 10 peratus kepada 25 peratus dan menamatkan pengecualian dan kelonggaran tarif ke atas keluli dan aluminium.

    Pada 13 Februari, beliau menandatangani memorandum yang mengarahkan jabatan berkaitan untuk menentukan ‘cukai timbal balik’ dengan setiap rakan dagang asing. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda