NEWTON, 7 JAN – Donald Trump kelmarin memulakan kempen di Iowa, negeri pertama yang memilih calon presiden, sambil berikrar untuk menang ‘buat kali ketiga’ ketika rakyat Amerika Syarikat (AS) menandakan ulang tahun serangan maut di Capitol AS oleh sekumpulan penyokongnya.
Ramai yang menyaksikan dengan ngeri peristiwa tiga tahun lalu pada 6 Januari 2021, ketika perusuh – dicetuskan oleh bekas presiden dan didorong oleh dakwaan palsunya mengenai penipuan pengundi – menyerang pusat demokrasi AS dalam usaha untuk menghentikan peralihan kuasa.
Dalam ucapan selama dua jam kepada penyokong di Newton, Iowa, Trump tidak menghuraikan lebih mendalam mengenai peristiwa hari itu, tetapi menyifatkan mereka yang dipenjarakan atas peranan mereka dalam serangan itu sebagai ‘tebusan’. Beliau telah mengatakan bahawa jika dipilih, beliau akan memberikan pengampunan kepada ramai orang.
Trump telah mempersendakan Presiden Joe Biden, saingan beliau dalam pilihan raya November.
Beliau berkata Biden telah menyebabkan kemerosotan ekonomi dan mengundang kekacauan di sempadan negara, selain gagal menghentikan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
“Saya pasti akan menghalang Putin,” katanya. Trump memberikan amaran tentang Perang Dunia Ketiga jika Biden dipilih semula, sambil menambah, ‘Ini adalah peluang terakhir kita untuk menyelamatkan Amerika’. – AFP


