Monday, March 3, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump isytihar Bahasa Inggeris bahasa rasmi AS

    WASHINGTON, 2 MAC – Presiden Donald Trump kelmarin mengisytiharkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Amerika Syarikat (AS), dengan mengatakan bahawa langkah itu akan membawa perpaduan kepada sebuah negara yang dicirikan oleh imigrasi dari seluruh dunia.

    Rumah Putih menerbitkan satu perintah eksekutif oleh Trump yang menyatakan bahawa sudah “terlalu lama” sejak Bahasa Inggeris sepatutnya diisytiharkan sebagai bahasa rasmi negara.

    “Bahasa kebangsaan yang ditetapkan adalah teras kepada sebuah masyarakat yang bersatu dan harmoni dan AS menjadi lebih kuat dengan rakyat yang dapat bertukar idea secara bebas dalam satu bahasa yang dikongsi bersama,” menurut dokumen itu.

    Perintah tersebut membatalkan mandat presiden dari tahun 1990an di bawah mantan presiden, Bill Clinton, yang mewajibkan agensi persekutuan dan penerima dana persekutuan untuk menyediakan bantuan kepada individu yang tidak bertutur dalam Bahasa Inggeris.

    Presiden Donald Trump bercakap kepada wartawan sebelum berlepas dari South Lawn, Rumah Putih, pada 28 Februari. – AP

    Menurut dokumen baharu itu, agensi kerajaan masih mempunyai fleksibiliti untuk menentukan sejauh mana bantuan boleh diberikan dalam bahasa selain Bahasa Inggeris.
    “Tiada apa dalam perintah ini yang mewajibkan atau mengarahkan sebarang perubahan dalam perkhidmatan yang disediakan oleh mana-mana agensi,” menurut perintah eksekutif itu.

    Ia juga menambah bahawa ketua-ketua agensi diberi kuasa untuk menentukan langkah yang diperlukan “bagi memenuhi misi agensi masing-masing dan menyediakan perkhidmatan kerajaan secara berkesan kepada rakyat Amerika.”

    Trump telah mengeluarkan banyak perintah eksekutif dalam minggu-minggu pertamanya di pejabat, dalam usaha meletakkan cap ideologi sayap kanan pada negara itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda