Sunday, January 26, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump janji usaha usir jutaan migran

    WASHINGTON, 9 DIS – Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang untuk melancarkan usaha mengusir jutaan pendatang haram dan mengenakan tarif ke atas negara asing yang menjalankan perniagaan dengan negara itu.

    Beliau juga akan memberi pengampunan kepada beberapa individu yang disabitkan kesalahan dalam insiden pencerobohan bangunan Capitol AS pada 6 Januari 2021.

    Trump membuat kenyataan itu ketika menggariskan agendanya dalam temu bual dengan Kristen Welker menerusi rancangan NBC News, Meet the Press, menurut laporan United Press International (UPI).

    Trump turut berkata beliau akan berusaha untuk melanjutkan pemotongan cukai yang diluluskan semasa pentadbiran pertamanya, tidak menaikkan umur kelayakan bagi Medicare atau Medicaid dan mencari cara untuk mengurangkan perbelanjaan persekutuan.

    Beliau juga menyatakan tidak akan mengenakan sekatan terhadap pil pengguguran dan kekal dengan pendirian bahawa isu pengguguran perlu ditentukan oleh setiap negeri.

    Reaksi Trump pada malam pilihan raya di Pusat Konvensyen Palm Beach, di West Palm Beach, Florida. – AP

    Sebagai tambahan kepada usaha pengusiran, beliau bercadang untuk menamatkan hak kewarganegaraan secara automatik yang diperuntukkan dalam Pindaan ke-14 Perlembagaan Amerika Syarikat, khususnya kepada individu yang dilahirkan di negara itu oleh ibu bapa tanpa dokumen yang sah.

    Mengenai pengusiran, Trump berkata, “Kami mulakan dengan penjenayah dan kami perlu melakukannya. Selepas itu, kita akan beralih kepada yang lain dan melihat bagaimana keadaannya.”

    Trump juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Demokrat bagi memastikan golongan Dreamers, pendatang haram yang memasuki Amerika Syarikat semasa kanak-kanak hampir 20 tahun atau lebih akan dapat terus tinggal di negara itu.

    Berkenaan tarif, Trump tidak dapat memberi jaminan kepada pengguna AS bahawa mereka tidak akan membayar lebih untuk beberapa produk di bawah peraturan baharu itu sekiranya ia dikuatkuasakan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda