WASHINGTON, 5 MEI – Presiden Donald Trump kelmarin telah mengumumkan beliau mengarahkan tarif baharu dikenakan ke atas semua filem yang dihasilkan di luar Amerika Syarikat (AS).
Pengumuman itu keluar atas dasar industri perfileman Hollywood sedang ‘dimusnahkan’ oleh trend penerbit filem dan studio AS yang sedang beroperasi di luar negara.
Pengumuman itu dibuat ketika Rumah Putih berdepan kritikan semakin hebat ter-hadap dasar perdagangan agresif yang menyaksikan Trump mengenakan tarif besar-besaran ke atas banyak negara di seluruh dunia.
“Saya memberi kuasa kepada Jabatan Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS untuk segera memulakan proses mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua filem yang masuk ke negara kita yang dihasilkan di negara asing,” tulisnya di platform Truth Social miliknya.
Kenyataan Trump itu dibuat selepas China, menjadi negara yang paling terkesan akibat dasar perdagangan konfrontasinya dengan tarif sebanyak 145 peratus ke atas pelbagai barangan bulan lalu, mengumumkan ia akan mengurangkan jumlah filem AS yang diimportnya.
“Industri perfileman di Amerika sedang ‘mati’ pada kadar yang cepat. Negara lain menawarkan pelbagai insentif untuk menarik penerbit filem dan studio kita keluar dari Amerika Syarikat,” tulis Trump kelmarin.
Tambahnya, “Hollywood dan banyak kawasan lain di AS, sedang dimusnahkan,” dan mendakwa keadaan ini merupakan ancaman terhadap keselamatan negara.
Implikasi terhadap industri filem atau bagaimana tarif itu akan dilaksanakan masih belum jelas setakat ini.
Trump juga tidak menyebut sama ada langkah itu turut melibatkan siri televisyen – satu sektor yang semakin popular dan menguntungkan dalam industri hiburan semasa. – AFP
