WASHINGTON, 10 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium ke negara itu, lapor agensi berita Jerman (dpa) kelmarin.
“Sebarang keluli yang memasuki AS akan dikenakan tarif 25 peratus,” kata Trump kepada wartawan yang mengiringinya.
Ketika ditanya sama ada import aluminium turut terjejas, Trump menjawab, “25 peratus untuk kedua-duanya.”
Beliau mengesahkan bahawa tarif ‘timbal balik’ tambahan akan diumumkan dalam minggu ini, dengan pengisytiharan rasmi dijangka dibuat pada esok atau Rabu.
“Secara ringkas, jika mereka mengenakan tarif ke atas kita, kita juga akan mengenakan tarif ke atas mereka,” katanya sambil menambah bahawa langkah itu akan berkuat kuasa ‘hampir serta-merta’.
Tarif AS sebanyak 10 peratus ke atas barangan China mula dikuatkuasakan esok, manakala tarif 25 peratus yang dirancang ke atas import dari Mexico dan Kanada ditangguhkan sementara selama 30 hari.
Penangguhan itu dibuat susulan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan langkah keselamatan sempadan.
Trump, yang memenangi pilihan raya presiden pada November lalu dengan berkempen untuk mengurangkan defisit perdagangan, sebelum ini pernah mengenakan beberapa tarif semasa penggal pertamanya dari 2017 hingga 2021. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-2BWEB-AFP_11022025.jpg)