ISTANBUL, 7 NOV – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin berikrar untuk memperdalam kerjasama dengan negara Asia Tengah dalam mineral kritikal, perdagangan dan keselamatan, menyifatkan rantau itu sebagai ‘bahagian dunia yang hebat dan berpengaruh’ semasa sidang kemuncak di Rumah Putih bersama pemimpin Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.
Trump berkata pentadbiran terdahulu telah ‘mengabaikan rantau yang sangat kaya ini’ dan menegaskan pemerintahannya komited untuk “memperbetulkan kesilapan itu”, lapor agensi Anadolu (AA).
Beliau menekankan kepentingan strategik rantau itu, sambil menyifatkan negara-negara Asia Tengah sebagai ‘jantung Eurasia’ yang memiliki ‘potensi luar biasa’.
“Satu daripada perkara utama dalam agenda kita ialah mineral kritikal.
“Kami telah mengukuhkan keselamatan ekonomi Amerika dengan menjalin perjanjian dengan sekutu dan rakan kongsi untuk meluaskan rantaian bekalan mineral kritikal kami,” katanya.

Beliau menyatakan ‘jumlah perdagangan yang besar’ sedang dijalankan antara AS dan rakan-rakan di Asia Tengah, termasuk dalam barangan pertahanan dan industri, memandang-kan Washington berusaha mempelbagaikan bekalan bahan mentah bagi tenaga bersih dan pembuatan berteknologi tinggi.
Presiden Tajikistan, Emomali Rahmon menekankan kerjasama negaranya dengan AS dalam bidang antimoni, sejenis sumber mineral kritikal yang digunakan dalam industri pertahanan dan tenaga.
“Tajikistan berada di tempat kedua dunia dalam pengeluaran antimoni dan kini merupakan pengeluar terbesar antimoni logam, yang sangat diminati oleh AS,” kata Rahmon sambil menambah bahawa antimoni merangkumi 97 peratus daripada eksport Tajikistan ke AS tahun lalu.
Rahmon berkata usaha sama AS-Tajikistan dalam bidang metalurgi mencerminkan ‘kerjasama jangka panjang’ antara kedua-dua negara, sambil menyatakan syarikat AS juga melabur dalam sektor penerbangan dan infrastruktur data.
Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev memuji ‘dasar berani’ Trump dan berkata kerjasama Kazakhstan dengan AS kini telah mencapai tahap perkongsian strategik yang dipertingkatkan. – Bernama

