WASHINGTON, 16 SEPT – Amerika Syarikat (AS) akan menguatkuasakan tarif import baharu sebanyak 15 peratus ke atas kereta dari Jepun mulai hari ini, susulan pengurangan yang diumumkan Presiden Donald Trump, lapor Agensi Berita Kyodo memetik notis kerajaan AS kelmarin.
Kadar tarif AS bagi kereta buatan luar negara meningkat kepada 27.5 peratus selepas Trump mengenakan tarif tambahan pada April atas alasan keselamatan negara, sekali gus menjejaskan margin keuntungan pengeluar kereta Jepun dan pengeluar lain.
Pengurangan tarif itu adalah sebahagian daripada perjanjian perdagangan yang dimeterai pentadbiran Trump pada 22 Julai dengan Jepun, yang sebagai balasan bersetuju untuk melabur besar-besaran di AS dan meningkatkan import produk pertanian Amerika semasa penggal kedua Trump sebagai Presiden.
Trump menandatangani perintah eksekutif pada 4 September untuk secara rasmi melaksanakan perjanjian perdagangan itu, yang turut memberikan Jepun layanan khas dalam apa yang beliau sebut sebagai tarif ‘timbal balik’.
Pada 7 Ogos, kadar tarif khusus mengikut negara yang diubah suai oleh Trump ke atas barangan dari puluhan rakan dagang AS telah mula berkuat kuasa. AS kini mengenakan tarif 15 peratus ke atas kebanyakan import dari Jepun, turun daripada 24 atau 25 peratus yang pernah diancam Trump sebelum perjanjian itu. – Bernama/Kyodo


