WASHINGTON, 22 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin mengumumkan inisiatif pelaburan kecerdasan buatan (AI) besar-besaran bernilai AS$500 bilion dengan sokongan OpenAI, SoftBank dan Oracle bagi memperkukuh infrastruktur AI serta mewujudkan peluang pekerjaan di negara itu.
Inisiatif yang dinamakan Stargate itu akan menyaksikan ketiga-tiga syarikat gergasi teknologi berkenaan membentuk usaha sama untuk membangunkan infrastruktur AI, dengan Trump menyifatkannya sebagai pelaburan yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam inovasi Amerika, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Kami bermula dengan pelaburan besar yang masuk ke negara kami pada tahap yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” kata Trump di Rumah Putih pada hari penuh pertamanya dalam penggal kedua.
Beliau menambah bahawa Stargate akan menjana lebih 100,000 pekerjaan di Amerika dan menekankan komitmen pentadbirannya untuk mempercepatkan pelaksanaan projek itu melalui perintah kecemasan. – Bernama/AA