WASHINGTON, 28 Feb – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru saja menyelesaikan tahun pertamanya di Rumah Putih, tetapi dia sudah memandang ke hadapan untuk kempen pemilihan semula 2020.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Kempen Trump mengumumkan pakar digital, Brad Parscale, 42, sebagai pengurus kempen dan akan mula menyediakan asas untuk apa yang telah dijanjikan sebagai kempen yang panjang dan sangat berpecah belah.
Ia tidak jelas sama ada Parscale akan kekal menjadi pengurus kempen apabila ia bermula, tetapi pelantikannya adalah satu lagi tanda seperti apa yang disebut oleh penganalisis sebagai ‘kempen kekal’ Amerika.
“Brad sangat penting dalam membawa disiplin teknologi dan pendekatan didorong oleh data mengenai bagaimana kempen 2016 dijalankan,” kata pengurus Rumah Putih, Jared Kushner.
“Kepimpinan dan kepakarannya akan membantu membina kempen terbaik dalam kelas.”

Sebelum mengikuti politik, Parscale yang dilahirkan di Kansas – telah bekerja untuk Pertubuhan Trump dalam pemasaran digital.
Pada tahun 2016 dia melakar nama untuk dirinya melalui usaha kontroversial untuk mengurangkan jumlah pengundi di kalangan minoriti, dengan tumpuan yang kuat di Facebook dan Twitter.
Itu telah meletakkan Parscale di tengah-tengah persoalan tentang kemungkinan pakatan kempen Trump dengan Rusia, yang cuba memesongkan pilihan raya membawa kepada kemenangan Trump sendiri.
Menjawab permintaan dari siasatan Kongres, Parscale berkata bahawa dia tidak menyedari penglibatan Rusia dalam operasi digital dan data Kempen Presiden Trump 2016. Dia berkata mereka hanya berkerjasama dengan kakitangan dari Facebook, Google dan Twitter, Parti Republikan dan syarikat data kontroversial Cambridge Analytica.
Keputusan Trump yang mahu semula dipilih dalam pilihan raya seterusnya tidak mengejutkan.
Dia memfailkan kertas kerja untuk mendaftarkan kempen pemilihan semula kurang dari lima jam selepas bersumpah pada 20 Januari 2017. – AFP