NEW YORK, 16 JUN – Perkongsian antara US Steel dan Nippon Steel telah mencecah fasa baharu, dengan persetujuan mengenai jaminan keselamatan negara Amerika Syarikat (AS), sebagai tambahan kepada kelebihan yang dipanggil ‘saham emas’ yang dicapai pentadbiran Presiden Donald Trump.
Pada petang Jumaat, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk meluluskan perkongsian itu, sekali gus menamatkan kemelut berlarutan mengenai pemilikan asing bagi aset negara utama yang bermula pada Disember 2023, apabila US Steel dan Nippon Steel mengumumkan rancangan untuk penggabungan bernilai AS$14.9 bilion.
Pengambilalihan Nippon terhadap US Steel telah digantung oleh bekas presiden Joe Biden, yang menyekatnya pada minggu-minggu terakhir penggalnya di Rumah Putih atas alasan keselamatan negara.
Trump pada mulanya menentang rancangan pengambilalihan Nippon Steel, menggesa US Steel kekal dimiliki dalam negara, tetapi beliau memberikan sokongan terhadap ‘perkongsian’ tersebut pada Mei.
“US Steel akan KEKAL di Amerika, dan mengekalkan Ibu Pejabatnya di Bandar Pittsburgh,” kata presiden AS itu dalam hantaran di Truth Social.

Dalam satu kenyataan bersama, US Steel dan Nippon Steel berkata Trump ‘telah meluluskan perkongsian bersejarah syarikat yang akan melancarkan pelaburan belum pernah berlaku sebelum ini dalam pembuatan keluli di Amerika Syarikat, melindungi dan mewujudkan lebih 100,000 pekerjaan.”
“Selain Perintah Eksekutif Presiden Trump yang meluluskan perkongsian itu, syarikat juga telah memeterai Perjanjian Keselamatan Negara (NSA) dengan kerajaan AS,” kata mereka, yang memerlukan pelaburan baharu bernilai kira-kira AS$11 bilion menjelang 2028.
Pada Sabtu, Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick menegaskan keperluan untuk ‘Saham Emas,’ yang memberi kerajaan AS hak untuk menyekat sebarang tindakan yang dipilihnya.
Lutnick tidak menghuraikan nilai sebenar saham itu, hanya mengatakan ia mempunyai ‘syarat berkuasa yang secara langsung memberi manfaat dan melindungi Amerika, Pennsylvania, pekerja keluli dari US Steel dan pengeluar AS.’
Beliau memberikan senarai contoh tindakan yang perlu diluluskan oleh kerajaan AS, termasuk sebarang penempatan semula ibu pejabat US Steel, memindahkan syarikat itu ke luar AS, menukar namanya atau memindahkan pekerjaan ke luar negara. – AFP

