BUSAN, 30 OKT – Presiden Donald Trump nampaknya mencadangkan Amerika Syarikat (AS) akan sambung semula ujian senjata nuklear buat kali pertama dalam tempoh tiga dekad, dengan mengatakan supaya AS akan berada pada ‘aras yang sama’dengan Rusia dan China.
Beliau umumkan di media sosial beberapa minit sebelum bertemu dengan pemimpin China, Xi Jinping hari ini di Korea Selatan.
AS sudah kerap menguji peluru berpandunya tetapi ia tidak meletupkan senjata itu sejak 1992 kerana larangan ujian. Tetapi kini Trump cadangkan bahawa perubahan adalah perlu kerana negara lain sedang menguji senjata mereka.
“Disebabkan negara lain sedang mengujinya, saya telah arahkan Jabatan Perang untuk mula menguji senjata nuklear kami secara saksama,” katanya dalam catatan di Truth Social. “Proses itu akan bermula segera.”
Rumah Putih tidak segera menjawab soalan yang meminta butiran lanjut dan Trump mengabaikan soalan wartawan mengenai catatannya ketika beliau duduk bersemuka dengan Xi di Busan untuk berbincang isu perdagangan.
Apabila beliau bercakap dengan wartawan kemudian, Trump kelihatan seperti mencampuradukkan ujian peluru berpandu yang membawa kepala peledak nuklear dengan ujian kepala peledak.
Negara-negara lain, katanya, “nampaknya semuanya menjalankan ujian nuklear” tetapi apabila melibatkan AS, “Kami ada lebih banyak senjata nuklear daripada sesiapa pun. Kita tidak (perlu) ujian.”
“Saya melihat mereka menguji dan saya berkata, jika mereka menguji, saya rasa kami juga perlu menguji,” kata Trump.
Apabila ditanya di mana ujian dibuat beliau berkata, “Ia akan diumumkan. Kita ada tapak ujian.”
Setakat ini, pihak Pentagon tidak segera menjawab soalan mengenai pengumuman Trump tentang ujian peluru berpandu nuklear. – AP


