WASHINGTON, 20 MAC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini dijangka menandatangani perintah untuk membubarkan Jabatan Pendidikan AS, satu langkah yang sudah lama diperjuangkan golongan konservatif negara itu.
Memetik laporan beberapa media semalam, perintah itu akan ditandatangani dalam satu majlis rasmi di Rumah Putih. Ia berlaku di tengah-tengah usaha sedang giat dilakukan untuk mengurangkan saiz tenaga kerja jabatan itu dan pemotongan pembiayaan secara drastik.
Setiausaha Pendidikan AS, Linda McMahon, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif World Wrestling Entertainment (WWE), mengeluarkan satu memo selepas mengangkat sumpah 3 Mac lalu, menyatakan bahawa jabatan itu akan memulakan ‘misi terakhirnya’.
Seminggu selepas itu, beliau bertindak mengurangkan separuh kakitangan jabatan.
Sewaktu kempen Pilihan Raya Presiden AS sebelum ini, Trump berjanji akan mengurangkan kawalan pusat dalam sistem Pendidikan dan menyerahkan kuasa Pendidikan kepada kerajaan negeri.
Langkah berkenaan selaras dengan aspirasi ramai pemimpin Parti Republikan yang sejak berdekad-dekad lalu mahu mengurangkan peranan kerajaan pusat dalam sistem pendidikan.
Secara tradisinya, kerajaan persekutuan AS hanya menyumbang sekitar 13 peratus untuk dana sekolah rendah dan menengah. – AFP
