Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump mahu tamat parol 500,000 pendatang

    WASHINGTON, 9 MEI – Pentadbiran Presiden Donald Trump kelmarin telah memohon kepada Mahkamah Agung supaya membenarkannya menamatkan parol kemanusiaan untuk ratusan ribu pendatang dari empat negara, sekali gus membuka jalan kepada kemungkinan mereka dihantar pulang.

    Rayuan kecemasan itu meminta para hakim Mahkamah Agung menggantung perintah mahkamah lebih rendah yang mengekalkan status sah sementara untuk lebih 500,000 orang dari Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela.

    Pentadbiran Republikan itu berhujah keputusan tersebut mencabul kuasa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

    ‘Mahkamah daerah telah membatalkan salah satu keputusan dasar imigresen yang paling penting oleh pentadbiran ini’, tulis Peguam Negara, John Sauer.

    Perintah oleh Hakim Daerah AS, Indira Talwani, di Boston, menyekat pentadbiran Trump daripada membatalkan status sah sementara pendatang itu lebih awal.

    Presiden Donald Trump di Rumah Putih, Washington, pada 8 Mei. – AP

    Keputusannya pada pertengahan April dibuat ketika permit mereka dijangka dibatalkan, yang akan menyebabkan mereka berdepan pengusiran dari Amerika Syarikat.

    Kes itu merupakan yang terbaharu dalam siri rayuan kecemasan pentadbiran Trump kepada Mahkamah Agung, kebanyakannya berkaitan dasar imigresen.

    Minggu lalu, kerajaan memohon supaya perlindungan sah sementara untuk 350,000 rakyat Venezuela ditarik balik.

    Beliau juga sedang berdepan pertikaian undang-undang berkaitan usaha untuk mengusir segera individu yang didakwa anggota geng ke penjara di El Salvador di bawah undang-undang perang abad ke-18 yang dikenali sebagai Alien Enemies Act.

    Trump semasa berkempen telah berjanji untuk mengusir jutaan individu yang berada di negara itu secara haram.

    Pentadbirannya turut berusaha memansuhkan dasar-dasar era Presiden Demokrat, Joe Biden yang mewujudkan cara baharu bagi individu untuk tinggal secara sah di AS, kebiasaannya untuk tempoh dua tahun dengan kebenaran bekerja. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda