CALIFORNIA, 29 DIS – Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat meminta Mahkamah Agung untuk menangguhkan pelaksanaan larangan TikTok yang berpotensi dikuatkuasakan sehingga pentadbirannya dapat mencari ‘penyelesaian politik’ terhadap isu tersebut.
Permintaan itu dibuat ketika TikTok dan pentadbiran Biden mengemukakan hujah bertentangan di mahkamah, di mana syarikat itu berhujah agar undang-undang yang boleh mengharamkan platform tersebut pada 19 Januari dibatalkan, sementara kerajaan menegaskan keperluan undang-undang itu untuk menangani risiko keselamatan negara.
“Presiden Trump tidak mengambil sebarang pendirian terhadap merit utama pertikaian ini. Sebaliknya, beliau dengan penuh hormat meminta Mahkamah mempertimbangkan untuk menangguhkan tarikh akhir pengalihan hak pada 19 Januari 2025, sementara ia menilai merit kes ini,” menurut hujah amicus yang disediakan oleh D John Sauer, pilihan Trump untuk peguam negara.
Hujah yang diserahkan kepada mahkamah itu adalah contoh terkini penglibatan Trump dalam isu-isu nasional sebelum beliau secara rasmi memegang jawatan. Presiden dari parti Republikan itu telah mula merundingkan dasar tarif dengan negara lain dan campur tangan awal bulan ini dalam rancangan pembiayaan kerajaan persekutuan, meminta rancangan dwipartisan ditolak dan mengarahkan Republikan kembali ke meja rundingan.
Trump juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin luar negara dan pegawai perniagaan di kelabnya, Mar-a-Lago, Florida, semasa menyusun pentadbirannya, termasuk pertemuan minggu lalu dengan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Chew.
Trump telah mengubah pendiriannya terhadap aplikasi popular TikTok, setelah sebelum ini berusaha untuk mengharamkannya semasa penggal pertamanya sebagai presiden atas kebimbangan keselamatan negara.
Semasa kempen pilihan raya presiden 2024, beliau menyertai TikTok, dan pasukannya menggunakan platform itu untuk berhubung dengan pengundi muda, terutamanya lelaki, dengan menyebarkan kandungan yang sering bersifat macho dan bertujuan untuk menjadi tular.
Beliau menyatakan awal tahun ini bahawa meskipun masih percaya terdapat risiko keselamatan negara dengan TikTok, beliau tidak lagi menyokong larangan terhadapnya.
Dokumen-dokumen yang difailkan pada Jumaat itu muncul menjelang hujah lisan yang dijadualkan pada 10 Januari untuk menentukan sama ada undang-undang yang mengkehendaki TikTok melepaskan hak milik daripada syarikat induknya yang berpusat di China atau menghadapi larangan, melanggar kebebasan bersuara seperti yang dilindungi oleh Pindaan Pertama.
Dalam kenyataannya, Trump menyatakan bahawa beliau menentang larangan TikTok pada tahap ini dan “berhasrat untuk menyelesaikan isu yang ada melalui cara politik apabila beliau mengambil alih jawatan.” – AP