WASHINGTON, 10 SEPT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau merancang mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengenai hubungan perdagangan meskipun AS mengenakan tarif ke atas barangan India berhubung pembelian minyak negara itu daripada Rusia, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Trump kelmarin menerusi platformnya, Truth Social, berkata rundingan yang bertujuan menghapuskan halangan perdagangan akan diteruskan dan beliau menantikan perbualan dengan ‘sahabat baiknya’ Modi dalam beberapa minggu akan datang.
AS baru-baru ini mengenakan tarif tambahan sebanyak 25 peratus terhadap produk India dalam usaha memberi tekanan kepada Moscow berhubung perang di Ukraine. India kekal sebagai satu-satunya rakan dagang Rusia yang disasarkan oleh sekatan AS berkaitan konflik itu.
Trump turut menyuarakan kebimbangan mengenai hubungan yang semakin erat antara Rusia, India dan China susulan pertemuan tiga pemimpin berkenaan pada sidang kemuncak Shanghai. – Bernama


