WASHINGTON, 22 Feb – Pentadbiran Trump telah mengeluarkan arahan baru yang keras semalam bagi tindakan ke atas penghijrah haram, dengan meletakkan hampir kesemua 11 juta warga asing tanpa dokumen di negara itu dalam tumpuannya.
Arahan-arahan itu menimbulkan rasa gementar dalam masyarakat penghijrah AS, yang mana berjuta-juta orang yang telah bertahun-tahun lamanya membina keluarga dan kehidupan di negara itu, kebanyakan mereka dari Mexico dan Amerika Tengah, dengan serius diancam dengan penghantaran pulang buat pertama kali dalam tempoh beberapa dekad.
Kumpulan hak asasi kemanusiaan melabel langkah itu ‘usaha memburu’, dengan memberi amaran bahawa penghantaran pulang beramai-ramai akan menjejaskan keluarga yang mempunyai akar umbi di AS dan menjejaskan ekonomi.
Namun John Kelly, setiausaha Jabatan Keselamatan Negara (DHS) yang telah mengeluarkan arahan baru itu dalam dua memo, berkata arahan itu perlu untuk menangani masalah yang telah ‘menenggelamkan’ sumber kerajaan.
“Peningkatan penghijrahan haram di sempadan selatan telah mengatasi agensi-agensi persekutuan dan sumber dan telah mewujudkan keadaan keselamatan negara AS terdedah pada bahaya,” dia berkata dalam salah satu memo.
![Penunjuk perasaan daripada kalangan warga AS yang menolak pentadbiran Trump. – AFP](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/P15-A_23217.jpg)
Senator Ben Cardin, Demokrat tertinggi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat memberi amaran bahawa garis pandu baru itu akan ‘menjejaskan keselamatan negara dan keselamatan awam.”
Datuk Bandar New York Bill De Blasio berkata dia enggan mengubah para pegawai polis bandar itu menjadi ejen-ejen imigresen atau pun penjaranya menjadi ‘tempat penahanan orang bagi dasar penghantaran pulang yang akan hanya menjejaskan rangkuman yang telah membantu menjadikan bandar New York bandar besar paling selamat di negara itu.”
Peraturan-peraturan baru itu memudahkan lagi rondaan sempadan dan pegawai-pegawai imigresen untuk dengan segera menghantar pulang mana-mana penghijrah haram yang mereka temui, dengan hanya beberapa pengecualian, terutamanya kanak-kanak.
Keutamaan akan tetap penghijrah tanpa dokumen yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dan juga sesiapa yang telah didakwa atau berkemungkinan berdepan dakwaan jenayah.
Bagaimanapun, mereka yang dianggap keutamaan rendah bagi penghantaran pulang oleh pentadbiran Barack Obama yang lalu, pada dasarnya sesiapa yang tidak terikat dengan jenayah tidak lagi dilindungi. – AFP