WASHINGTON, 7 MAC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata kelmarin beliau ‘mungkin’ akan melanjutkan tarikh akhir bagi penjualan aplikasi media sosial milik China, TikTok, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kita masih mempunyai sekurang-kurangnya sebulan lagi, jadi kita tidak memerlukan lanjutan. Tetapi jika saya perlu melanjutkannya, saya mungkin akan berbuat demikian.
“Kita mempunyai banyak pihak yang berminat dengan TikTok. Dan China akan memainkan peranan, jadi diharapkan mereka akan meluluskan perjanjian itu, tetapi mereka tetap akan terlibat,” katanya kepada wartawan di Pejabat Oval.
Selepas mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif bagi menangguhkan larangan aplikasi itu selama 75 hari.
Beliau kini berusaha mencari penyelesaian yang dapat melindungi keselamatan negara sambil mengekalkan platform yang digunakan oleh 170 juta rakyat Amerika.
Mahkamah Agung AS sebelum ini mengekalkan undang-undang yang mengharamkan TikTok kecuali syarikat induknya yang berpusat di China, ByteDance menjual aplikasi itu. – Bernama/Anadolu
