WASHINGTON, 6 JUN – Hubungan politik luar biasa antara Donald Trump dan Elon Musk berakhir secara dramatik kelmarin, apabila Presiden Amerika Syarikat itu mengancam untuk menarik balik kontrak kerajaan bernilai besar sebagai tindakan balas terhadap jutawan teknologi berkenaan.
Trump menyatakan dalam satu kenyataan di Pejabat Oval bahawa dia ‘amat kecewa’ selepas bekas pembantunya yang juga penyumbang utama kempen mengkritik rang undang-undang perbelanjaan besar yang sedang dibahaskan di Kongres.
Kedua-duanya kemudian saling berbalas kata-kata kesat di media sosial termasuk dakwaan Musk, tanpa bukti, bahawa Trump disebut dalam dokumen kerajaan berkaitan ahli kewangan terpalit skandal dan pesalah seksual, Jeffrey Epstein.
Pertelingkahan itu berpotensi membawa kesan besar dalam bidang politik dan ekonomi, apabila saham syarikat kereta Tesla milik Musk menjunam dan tokoh teknologi kelahiran Afrika Selatan itu pula mengugut untuk menamatkan satu program angkasa lepas penting AS.
Spekulasi mengenai hubungan antara individu terkaya dunia dan pemimpin paling berkuasa itu tidak akan kekal lama memang telah lama diperkatakan namun kejatuhan mendadak hubungan tersebut mengejutkan Washington.
“Saya sangat kecewa dengan Elon. Saya banyak membantunya,” kata Trump kepada pemberita di Oval Office sambil diperhatikan secara senyap oleh Canselor Jerman, Friedrich Merz.
“Elon dan saya pernah mempunyai hubungan yang baik. Tapi saya tidak pasti jika kami masih begitu.”
Trump, 78, yang kelihatan terkesan, turut menyatakan dalam ucapan selama 10 minit bahawa hanya seminggu yang lalu dia telah mengadakan majlis perpisahan untuk Musk ketika dia meninggalkan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang bertujuan menjimatkan perbelanjaan.
Trump kemudian menggelar Musk sebagai ‘gila’ dan menegaskan bahawa dia sendiri yang meminta jutawan itu berundur kerana kesabarannya semakin menipis. – AFP
