BIARRITZ, 25 OGOS – Walaupun Presiden Donald Trump hari ini menafikan bahawa perang perdagangan dengan China menyebabkan pergeseran pada Sidang Kemuncak G7 tetapi beliau memberi petunjuk akan menahan ancaman berkenaan daripada terus meruncing.
“Saya fikir mereka menghormati perang perdagangan. Ia perlu berlaku,” kata Trump kepada pemberita di Biarritz, Perancis, di mana beliau bertemu dengan para pemimpin lain G7.
Ditanya sama ada pemimpin lain mengkritik perang perdagangan besar-besaran itu, Trump berkata, “Tidak sama sekali. Saya tidak pernah mendengarnya.”
Malah ahli-ahli G7 Eropah yang merangkumi Britain, Kanada, Jerman, Perancis, Itali, Jepun dan AS berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai ancaman yang lebih meluas perang perdagangan terhadap ekonomi global.
Perdana Menteri Britain Boris Johnson adalah pemimpin terbaharu yang memberitahu Trump pada mesyuarat sarapan hari ini bahawa ‘mereka tidak suka tarif ke atas apa sahaja’. Satu perbincangan antara Washington dan Beijing untuk mengakhiri apa yang dikatakan Trump sebagai hubungan perdagangan tidak adil yang besar telah menemui jalan buntu. Jumaat lalu, Trump memberi respons kepada kenaikan tarif China ke atas barang-barang AS dengan mengenakan levi tambahan yang berat terhadap sejumlah AS$550 bilion import China. – Bernama
