Monday, March 10, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump nafi pergeseran Rubio-Musk berhubung pengurangan pekerja persekutuan

    WASHINGTON, 9 MAC – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menafikan laporan mengenai pergeseran besar antara Setiausaha Negara Marco Rubio dan Elon Musk berhubung pengurangan besar-besaran tenaga kerja persekutuan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini, lapor Xinhua.

    Dalam mesyuarat kabinet Khamis lalu perbincangan tegang bermula apabila ketua pemotongan kos Trump, Musk, mengkritik Rubio kerana tidak melaksanakan pengurangan kakitangan yang ketara di Jabatan Negara, malah menuduh Rubio tidak memecat ‘seorang pun,’ menurut laporan The New York Times Jumaat lalu.

    Sebagai tindak balas, Rubio menegaskan bahawa lebih 1,500 pegawai Jabatan Negara baru-baru ini bersara awal melalui skim pemisahan sukarela, sambil bertanya sama ada Musk mahu beliau mengambil semula mereka hanya untuk dipecat sekali lagi.

    Bagaimanapun, Trump menepis laporan mengenai pergeseran antara Rubio dan Musk ketika ditanya oleh seorang wartawan Jumaat lalu di Pejabat Oval, menurut laporan CNN.

    “Tiada pergeseran, saya berada di sana,” kata Trump. “Elon dan Marco menjalankan tugas dengan cemerlang.”

    Pada Khamis lalu, Trump berjanji untuk menggunakan pendekatan ‘pisau bedah’ dan bukannya ‘kapak’ berhubung pengurangan tenaga kerja persekutuan, satu kenyataan yang dibuat ketika rasa tidak puas hati dan kritikan terhadap pemberhentian pekerja secara agresif semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini. – Bernama

    Trump bercakap kepada wartawan semasa dalam perjalanan ke New Orleans pada 9 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda