NEW YORK, 5 MEI – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menyifatkan individu yang mendakwanya dengan tuduhan rogol sebagai sakit mental menerusi rakaman video yang dimainkan untuk juri dalam perbicaraan sivil serangan seksual dan fitnah terhadapnya.
“Dia seorang penipu dan benar-benar sakit. Saya rasa dia sakit, sakit mental,” katanya merujuk bekas kolumnis Amerika, E Jean Carroll.
Beliau membuat kenyataan itu pada Oktober ketika memberi keterangan dalam tuntutan mahkamah Carroll terhadapnya.
Tahun lalu, Carroll menyaman Trump dengan mendakwa bekas presiden itu merogolnya di sebuah gedung beli-belah New York pada pertengahan 1990an.
Selain itu, Carroll juga mendakwa Trump memfitnahnya apabila menuduhnya berbohong selepas mendedahkan dakwaan itu pada 2019.
Trump berulang kali dan bersungguh-sungguh menafikan dakwaan itu dan berkata beliau tidak pernah didakwa secara jenayah.
Ketika memberi keterangan, Trump mengulangi dakwaannya bahawa beliau tidak tahu siapa Carroll dan mengulangi beberapa kali komen yang dibuatnya sebelum ini dan mengatakan wanita itu sebagai ‘she’s not my type’.
Dalam pada itu, peguam Trump, berkata bekas pemimpin AS itu tidak akan mengambil pendirian di mahkamah ketika perbicaraan.
Dalam saman itu, Carroll menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan dan meminta Trump menarik balik komennya. – AFP