WASHINGTON, 25 MEI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini mempertahankan tindakan pentadbirannya untuk menyekat kemasukan pelajar asing ke Universiti Harvard, meskipun tindakan itu telah digantung oleh hakim selepas pihak universiti menyifatkannya sebagai tidak sah.
“Kenapa Harvard tidak menyatakan bahawa hampir 31 peratus pelajar mereka berasal dari negara asing, dan negara-negara tersebut – ada yang langsung tidak mesra dengan AS – tidak membayar apa-apa untuk pendidikan pelajar mereka, dan tidak pernah pun berhasrat untuk berbuat demikian,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social.
“Kami mahu tahu siapa pelajar asing itu – satu permintaan yang munasabah memandangkan kami memberikan Harvard berbilion dolar, tetapi Harvard langsung tidak telus.”
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, pada Khamis lalu telah membatalkan kebenaran Harvard untuk mendaftarkan warganegara asing, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan ribuan pelajar serta aliran pendapatan besar yang mereka sumbangkan kepada institusi itu.
Noem sebelum ini mengancam untuk menyekat pelajar antarabangsa daripada memasuki Harvard kecuali universiti itu menyerahkan rekod pelajar visa yang terlibat dalam “aktiviti haram dan ganas”. – AFP
