ANKARA, 14 MEI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan pertemuan sulung dengan rakan sejawatnya dari Syria, Ahmad al-Sharaa di ibu negara Arab Saudi, Riyadh hari ini, lapor agensi Anadolu (AA).
Rumah Putih dan media Arab Saudi melaporkan mengenai pertemuan itu namun tiada butiran lanjut mengenai kandungannya didedahkan setakat ini.
Seorang pegawai Rumah Putih sebelum ini berkata Trump bersetuju untuk bertemu al-Sharaa semasa lawatannya ke Arab Saudi hari ini.
Kelmarin, Trump ketika Forum Pelaburan Arab Saudi-AS 2025 di Riyadh berkata beliau akan mengarahkan penghapusan sekatan AS ke atas Syria yang disifatkannya sebagai ‘kejam dan melumpuhkan,’ bagi memberi peluang kepada negara itu ‘meraih kegemilangan.’
Trump tiba di Arab Saudi kelmarin, memulakan lawatan ke negara Teluk yang turut merangkumi Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. – Bernama
