Selasa, Julai 29, 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump puji Manet berjaya laksana gencatan senjata

    PHNOM PENH, 29 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet atas kejayaan beliau memimpin rundingan gencatan senjata dengan Thailand kelmarin.

    Mesyuarat khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Putrajaya, Malaysia menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menghentikan permusuhan di sepanjang sempadan utara Kemboja. Setakat tengah malam, tiada insiden tembakan dilaporkan di kawasan bergolak itu. 

    “Sekembalinya saya ke Kemboja selepas rundingan gencatan senjata yang berjaya antara tentera Kemboja dan Thailand di Malaysia, saya menerima panggilan telefon daripada Presiden Donald Trump yang mengucapkan tahniah atas kejayaan rundingan gencatan senjata,” kata Manet menerusi satu hantaran di Facebook lewat malam kelmarin.

    Beliau berkata Trump turut bersetuju agar AS terlibat dalam pemantauan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata berkenaan dan bekerjasama dengan mekanisme pemantauan yang diwujudkan oleh Malaysia.

    “Beliau (Trump) berpandangan bahawa agar perjanjian ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan, perlu ada mekanisme pemantauan yang jelas oleh pihak-pihak berkaitan,” kata Manet.

    Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bersetuju menghentikan semua permusuhan selepas insiden pertempuran bersenjata tercetus antara tentera kedua-dua negara sejak 24 Julai lalu.

    Manet turut merakamkan penghargaan kepada Trump atas peranan beliau yang mempercepatkan rundingan gencatan senjata serta kesediaan AS menjadi penganjur bersama mesyuarat khas itu di Malaysia, menurut hantaran media sosial itu. – Bernama

    Hun Manet semasa mesyuarat khas rundingan peringkat tinggi berkenaan konfrontasi bersenjata antara kedua-dua negara di Kompleks Seri Perdana kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda