Wednesday, April 30, 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump rancang cukai alat ganti kereta dikecualikan

    WASHINGTON, 30 APRIL – Pengeluar kereta di Amerika Syarikat (AS) bakal menerima pelepasan daripada tarif ke atas komponen kenderaan, menurut seorang pegawai kanan Jabatan Perdagangan kelmarin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    “Kami hanya mahu membantu mereka dalam tempoh peralihan ini. Pada dasarnya mereka membayar 25 peratus,” kata Presiden AS Donald Trump.

    Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt sebelum itu memaklumkan bahawa Trump akan menandatangani dekri berkaitan tarif kereta dalam masa terdekat, ekoran aduan daripada pihak industri.

    Langkah pengecualian itu bertujuan mengurangkan beban cukai ke atas komponen import yang digunakan untuk pemasangan kenderaan di AS, menurut laporan.

    Menurut Jabatan Perdagangan lagi, satu fasa peralihan dirancang bagi pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas komponen.

    Pengeluar akan menerima bayaran balik sehingga 3.75 peratus daripada nilai kenderaan yang dibina di AS pada tahun pertama, yang akan dikurangkan kepada 2.5 peratus pada tahun kedua, dan bermula tahun ketiga, tarif itu akan dimansuhkan sepenuhnya.

    Trump sebelum ini mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas kereta dan alat ganti import. Cukai ke atas kenderaan mula berkuat kuasa pada awal April, manakala cukai ke atas alat ganti akan bermula 3 Mei ini.

    Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam sidang media di Rumah Putih berkata langkah itu akan memberi lonjakan besar kepada pengeluaran kereta di AS.

    Langkah itu diambil selepas industri memberi amaran tentang kemungkinan kesan buruk serta peningkatan harga secara drastik sekiranya tiada tindakan diambil.

    Penyelidik pasaran menganggarkan bahawa kira-kira separuh daripada kenderaan yang dijual di AS sebenarnya dipasang di luar negara. Malah, pengeluar kereta AS sendiri menghasilkan banyak kenderaan di luar negara, khususnya di Mexico. – Bernama,dpa

    Donald Trump berucap dalam satu acara di Kolej Komuniti Sukan Macomb County di Michigan kelmarin. Beliau rancang kecualikan cukai alat ganti kereta. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda