Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump tambah tarif 10% ke atas Kanada

    ABOARD AIR FORCE ONE, 26 OKT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin mengumumkan kenaikan tarif terhadap barangan Kanada sebanyak tambahan 10 peratus susulan pertikaian berterusan mengenai iklan anti-tarif Kanada yang memaparkan mendiang bekas Presiden AS, Ronald Reagan.

    Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Trump memaklumkan semua rundingan perdagangan dengan Kanada ditamatkan berikutan apa yang disifatkannya sebagai kempen iklan ‘palsu’.

    “Iklan mereka sepatutnya ditarik serta-merta, namun mereka tetap menayangkannya malam tadi semasa perlawanan Siri Dunia, sedangkan mereka tahu ia satu penipuan,” katanya menerusi platform media sosial Truth Social ketika dalam penerbangan ke Asia bagi menghadiri mesyuarat bersama pemimpin serantau utama.

    “Disebabkan penyelewengan fakta yang serius serta tindakan bermusuhan itu, saya menaikkan tarif terhadap Kanada sebanyak 10 peratus lagi daripada kadar sedia ada,” tambah beliau.

    Kerajaan Ontario memaklumkan mereka akan menarik balik iklan anti-tarif tersebut esok bagi membolehkan rundingan perdagangan disambung semula.

    Dasar tarif global Trump, khususnya terhadap sektor keluli, aluminium dan automotif telah memberi kesan besar kepada Kanada, menyebabkan kehilangan pekerjaan serta menjejas sektor perniagaan negara itu.

    Buat masa ini, AS dan Kanada masih mematuhi perjanjian perdagangan sedia ada di bawah Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA), yang memastikan kira-kira 85 peratus perdagangan rentas sempadan kedua-dua negara kekal bebas tarif. – AFP

    Presiden Donald Trump bercakap dengan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney di Sharm El Sheikh, Mesir pada 13 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda