WASHINGTON, 25 MAC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif kelmarin bagi mengenakan tarif terhadap negara yang mengimport minyak Venezuela, lapor agensi Anadolu.
Bermula 2 April, tarif sebanyak 25 peratus boleh dikenakan ke atas semua barangan yang diimport ke AS dari mana-mana negara yang membeli minyak Venezuela, sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga, menurut perintah itu.
Dokumen itu menyatakan bahawa tindakan dan dasar ‘rejim Nicolas Maduro di Venezuela terus menimbulkan ancaman luar biasa’ terhadap keselamatan negara dan dasar luar AS.
Terdahulu kelmarin, Trump mengumumkan bahawa beliau akan mengenakan tarif ‘sekunder’ ke atas Venezuela berikutan dakwaan Caracas secara rahsia menghantar puluhan ribu anggota kumpulan geng ke AS.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio turut menegaskan bahawa Washington tidak akan berkompromi dengan mana-mana negara atau syarikat minyak yang terlibat dalam pengeluaran, pengeksktrakan atau eksport minyak dan produk berkaitan dengan ‘rejim Maduro’ di negara itu.
“Ini adalah rejim yang secara berterusan mencuri pilihan raya, merompak rakyatnya sendiri dan bersekongkol dengan musuh kita.
“Mana-mana negara yang membenarkan syarikatnya beroperasi di Venezuela akan dikenakan tarif baharu, manakala syarikat terlibat pula bakal berdepan sekatan,” katanya menerusi hantaran di X. – Bernama
