WASHINGTON, 26 SEPT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin telah menandatangani perintah eksekutif yang mengesahkan perjanjian pemindahan operasi TikTok di AS kepada konsortium Amerika memenuhi syarat keselamatan negara yang ditetapkan undang-undang domestik, lapor agensi Anadolu.
Perintah itu, yang turut melanjutkan tempoh moratorium larangan TikTok di AS selama 270 hari seperti digariskan undang-undang, merupakan antara langkah terakhir sebelum perjanjian itu dimuktamadkan.
Trump berkata dalam panggilan telefon minggu lalu, Presiden China, Xi Jinping telah memberi persetujuan terhadap perjanjian berkenaan.
“Saya berbual dengan baik dengan Presiden Xi, saya amat menghormatinya. Harapnya beliau juga menghormati saya. Kami berbincang mengenai TikTok dan perkara lain, tetapi kami bercakap tentang TikTok dan beliau memberi kebenaran kepada kami,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval.
Seorang pegawai kanan Rumah Putih memaklumkan awal minggu ini, selepas perintah itu ditandatangani, ByteDance akan memeterai perjanjian rangka kerja dengan kira-kira seorang pelabur pengurusan dalam konsortium baharu, sementara proses semakan kawal selia dilengkapkan. – Bernama


