Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump tandatangan undang-undang pembiayaan, tamatkan penutupan kerajaan

    WASHINGTON, 13 NOV – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin menandatangani undang-undang pembiayaan kerajaan sehingga akhir Januari, sekali gus menamatkan penutupan kerajaan yang menjadi paling lama dalam sejarah negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    “Golongan ekstremis dalam parti satu lagi berkeras mencetuskan penutupan kerajaan paling lama dalam sejarah Amerika dan mereka melakukannya semata-mata atas sebab politik. Ini bukan cara mengurus sebuah negara. Saya berharap kita semua boleh bersetuju bahawa kerajaan tidak sepatutnya ditutup lagi,” kata Trump di Rumah Putih ketika menandatangani rang undang-undang perbelanjaan itu.

    Ia dibuat hanya beberapa jam selepas Dewan Perwakilan AS meluluskan perjanjian dwipartisan itu dengan undian 222 menyokong manakala 209 menolak.

    Senat pada Isnin lalu meluluskan perjanjian yang menamatkan gangguan pembiayaan selama 43 hari dan mengekalkan pembiayaan kerajaan pada tahap sebelumnya sehingga 30 Jan.

    Rang undang-undang itu turut merangkumi pakej peruntukan tiga tahun bagi agensi dan program penting, serta mengembalikan jawatan kakitangan persekutuan yang diberhentikan oleh Trump sepanjang tempoh penutupan kerajaan.

    Penutupan kerajaan bermula pada 1 Oktober selepas rundingan mengenai keutamaan perbelanjaan persekutuan gagal mencapai persetujuan. Sejak itu, ribuan kakitangan persekutuan diarah mengambil cuti tanpa gaji atau bekerja tanpa bayaran, manakala banyak perkhidmatan kerajaan terpaksa dikurangkan atau digantung.

    Sepanjang penutupan, Demokrat cuba mendesak Republikan melanjutkan subsidi kesihatan di bawah undang-undang penjagaan kesihatan Affordable Care Act (ACA), serta membatalkan pemotongan terhadap program Medicaid untuk golongan berpendapatan rendah yang dilaksanakan Trump dan sekutunya lebih awal tahun ini.

    Namun, kedua-dua tuntutan itu tidak dipenuhi, dengan Republikan sekadar bersetuju untuk mengadakan undian di Senat pada masa akan datang mengenai subsidi ACA yang bakal tamat hujung tahun ini. – Bernama/Anadolu

    Donald Trump menunjukkan pakej rang undang-undang yang ditandatangani untuk membuka semula kerajaan persekutuan di Pejabat Oval Rumah Putih di Washington, DC kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda