Trump tangguh tarif kereta

WASHINGTON, 12 NOV – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump (gambar bawah) minggu ini dijangka mengumumkan bahawa beliau akan menangguhkan keputusan sama ada akan mengenakan tarif tambahan ke atas kereta dari Kesatuan Eropah (EU) bagi tempoh enam bulan lagi, lapor media tempatan.

Memetik individu daripada sumber terdekat, akhbar Politico melaporkan semalam bahawa Trump dijangka mengumumkan penangguhan enam bulan tarif ke atas kereta EU, bagi mengelak pertikaian dengan salah satu rakan perdagangan terbesar AS.

Namun individu itu juga mengingatkan bahawa timbulnya ketidakpastian tentang keputusan terakhir Trump apabila ia membabitkan perdagangan dan tarif.

Trump pada bulan Mei menangguh keputusan tarif kereta selama 180 hari, sementara mengarahkan wakil Perniagaan AS, Robert Lighthizer untuk mengadakan rundingan perjanjian dengan EU, Jepun dan rakan perdagangan yang lain bagi ‘menangani ancaman keselamatan nasional’ yang dicetuskan oleh import kereta asing dan alat ganti kereta.

Jika proses perundingan tidak menghasilkan perjanjian dalam tempoh 180 hari, Trump akan menentukan tindakan seterusnya. Tarikh akhir adalah pada hari Rabu.

Memetik seorang lagi individu daripada sumber terdekat, The New York Times juga melaporkan semalam bahawa Trump berkemungkinan besar pada minggu ini menangguhkan tarif kereta untuk beberapa bulan, “kerana tidak terdapat minat dalam pentadbiran untuk meneruskannya dengan mereka sekarang.”

Lighthizer memberitahu wartawan pada September bahawa beliau tidak menjangka Trump akan mengenakan tarif pada kereta import dan alat ganti kereta Jepun, selepas kedua-dua negara mencapai kesepakatan mengenai perdagangan digital dan pengurangan tarif bagi produk pertanian dan perindustrian.

Walau bagaimanapun, perundingan perdagangan antara AS dan EU belum membuahkan hasil, lebih-lebih lagi ketika EU enggan mengemukakan isu pertanian dalam rundingan, menurut Politico. – Xinhua