WASHINGTON, 8 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kelmarin mencetuskan semula perang perdagangannya dengan mengancam lebih 12 buah negara dengan tarif lebih tinggi – namun kemudian menyatakan dia mungkin bersikap fleksibel terhadap tarikh akhir baharu pada bulan Ogos untuk mencapai perjanjian.
Trump telah menghantar surat kepada rakan dagangan, termasuk sekutu utama AS seperti Jepun dan Korea Selatan, dengan memaklumkan tarif yang digantung pada April lalu akan dikenakan semula dengan kadar lebih tinggi dalam tempoh tiga minggu.
Dalam suratnya, Trump menyatakan Jepun dan Korea Selatan akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan mereka. Negara lain seperti Indonesia, Bangladesh, Thailand, Afrika Selatan dan Malaysia turut dikenakan tarif antara 25 hingga 40 peratus.
Namun, dalam langkah yang sekali lagi mencetuskan ketidaktentuan dalam ekonomi global yang sedia terkesan akibat dasar tarifnya, Trump, 79, masih memberikan ruang kepada negara-negara terbabit untuk merundingkan perjanjian.
“Saya akan kata ia muktamad, tetapi tidak 100 peratus muktamad,” kata Trump kepada pemberita semasa jamuan makan malam bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, apabila ditanya sama ada tarikh akhir 1 Ogos itu adalah muktamad dan ettap dilaksanakan. – AFP
