WASHINGTON, 6 APRIL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kelmarin sekali lagi mempertahankan langkah tarif besar-besaran yang dikenakan ke atas negara-negara di seluruh dunia, sambil memberi amaran kepada rakyat Amerika bahawa kesakitan bakal dirasai, tetapi menjanjikan pelaburan bersejarah dan kemakmuran.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika tarif paling meluas oleh Trump mula berkuat kuasa – satu langkah yang boleh mencetuskan tindakan balas dan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat sehingga mengganggu ekonomi global.
“Kita telah lama menjadi ‘tempat melampiaskan kemarahan’ yang bodoh dan tidak berdaya, tetapi tidak lagi. Kita sedang membawa pulang pekerjaan dan perniagaan seperti tidak pernah berlaku sebelum ini,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
“Ini adalah revolusi ekonomi dan kita akan menang,” tambahnya. “Bertahanlah, ia tidak akan mudah, tetapi hasil akhirnya akan menjadi bersejarah.”
Tarif ‘asas’ sebanyak 10 peratus mula dikuatkuasakan sejurus selepas tengah malam, dikenakan ke atas kebanyakan import AS kecuali barangan dari Mexico dan Kanada, apabila Trump menggunakan kuasa ekonomi kecemasan untuk menangani apa yang disifatkan sebagai masalah defisit dagangan negara.

Menurut Rumah Putih, jurang perdagangan itu berpunca daripada ‘kekurangan timbal balik’ dalam hubungan dagangan serta dasar lain seperti ‘cukai nilai tambah yang terlalu tinggi’.
Menjelang 9 April, sekitar 60 rakan dagang – termasuk Kesatuan Eropah, Jepun dan China – dijangka berdepan kadar tarif yang lebih tinggi yang disesuaikan mengikut ekonomi masing-masing.
Langkah Trump mengenakan tarif sebanyak 34 peratus ke atas barangan China, yang akan berkuat kuasa minggu hadapan, telah mencetuskan pengumuman balas daripada Beijing yang akan mengenakan tarif 34 peratus ke atas produk AS bermula 10 April.
Beijing juga menyatakan akan menyaman AS di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan mengehadkan eksport unsur nadir bumi yang digunakan dalam teknologi perubatan dan elektronik berteknologi tinggi.
“China telah terjejas jauh lebih teruk berbanding AS, bezanya sangat ketara,” kata Trump dalam kirimannya. “Mereka dan banyak negara lain, telah melayan kita dengan sangat tidak adil.”
Namun, rakan dagang utama lain masih mengambil sikap tunggu dan lihat sambil memerhati ketegangan antarabangsa yang semakin meruncing, di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemungkinan kemelesetan ekonomi. – AFP