WASHINGTON, 30 MAC – Presiden Donald Trump berkata kelmarin bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak akan membiayai kos keselamatan untuk Putera Harry dan isterinya, Meghan, di mana pasangan tersebut telah mengesahkan akan berpindah ke California.
Mereka dilaporkan diterbangkan menggunakan jet peribadi dari Kanada ke Los Angeles sebelum sempadan kedua-dua buah negara tersebut ditutup disebabkan penularan wabak koronavirus.
Pasangan tersebut, yang sebelum ini tinggal di Kanada selama beberapa bulan, mengejutkan keluarga diraja awal tahun ini dengan keputusan mereka untuk tidak mewakili monarki Britain dan mengejar kehidupan yang baharu dan bebas. “Saya merupakan rakan baik dan peminat kepada Ratu dan United Kingdom (UK),” Trump berkata menerusi Twitter.
“Dikhabarkan Harry dan Meghan, yang meninggalkan UK, menetap di Kanada. Sekarang mereka telah meninggalkan Kanada untuk datang ke AS. Walau bagaimanapun, AS tidak akan membayar untuk perlindungan keselamatan mereka. Mereka mesti membayar sendiri!” – AFP
