ISTANBUL, 10 MAC – Presiden Donald Trump enggan menolak kemungkinan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) tahun ini, sambil mengakui ketidaktentuan ekonomi ketika pentadbirannya menghadapi perubahan dasar perdagangan, lapor agensi Anadolu (AA).
“Saya tidak suka meramalkan perkara seperti itu,” kata Trump dalam wawancara bersama Fox News apabila ditanya mengenai kemungkinan kemerosotan ekonomi, sambil menegaskan yang perubahan ekonomi mengambil masa.
“Terdapat tempoh peralihan kerana apa yang kami lakukan adalah sesuatu yang besar, kami membawa kekayaan kembali ke Amerika.”
Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick lebih yakin dengan kenyataannya apabila memberitahu program Meet the Press terbitan NBC bahawa rakyat AS ‘sama sekali tidak’ perlu bersiap sedia menghadapi kemelesetan.
Pasaran kewangan terus bergolak susulan dasar tarif Trump yang berubah-ubah, dengan saham AS mencatatkan minggu terburuk sejak pilihan raya November lalu. Sementara itu, indeks Rizab Persekutuan Atlanta kini meramalkan penguncupan 2.4 peratus dalam pertumbuhan KDNK sebenar bagi suku pertama tahun ini, berpotensi menjadi yang terburuk sejak kemuncak pandemik COVID-19.
Walaupun pentadbirannya kekal optimis, institusi kewangan utama memberi amaran sebaliknya. Goldman Sachs meningkatkan kebarangkalian kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada 15 peratus kepada 20 peratus, memetik perubahan dasar dan jangkaan tarif lebih tinggi sebagai risiko utama.
Morgan Stanley pula menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi AS bagi 2025 daripada 1.9 peratus kepada 1.5 peratus, merujuk kepada data ekonomi yang lemah serta kebimbangan berkaitan tarif. – Bernama
