WASHINGTON, 5 SEPT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin menandatangani perintah eksekutif bagi melaksanakan secara rasmi perjanjian perdagangan dengan Jepun yang dicapai pada Julai, sekali gus mengurangkan tarif ke atas kereta Jepun dan barangan import lain.
Rumah Putih dalam kenyataan berkata perintah itu akan menurunkan tarif ke atas kereta Jepun kepada 15 peratus berbanding kadar semasa 27.5 peratus, selaras dengan perjanjian tersebut.
Kadar baharu itu akan berkuat kuasa dalam tempoh tujuh hari selepas perintah tersebut diterbitkan dalam Federal Register, lapor Kyodo News.
Import dari Jepun yang sudah dikenakan tarif 15 peratus atau lebih tidak akan berdepan cukai tambahan, manakala duti bagi barangan lain akan dihadkan kepada 15 peratus.
Trump menambah bahawa pelaburan Jepun akan dipilih oleh kerajaan AS dan dijangka mewujudkan ratusan ribu pekerjaan, mengembangkan sektor pembuatan domestik serta menjamin kemakmuran ‘untuk generasi akan datang.’
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas ketua perunding tarif Jepun, Ryosei Akazawa, tiba di Washington bagi rundingan pusingan ke-10 dengan pasukan perdagangan Trump. Beliau sedang berusaha mendapatkan pengurangan tarif serta layanan khas yang dipersetujui pada Julai.
Di bawah perjanjian itu, Jepun berjanji untuk melabur sehingga AS$550 bilion di AS melalui gabungan pelaburan, pinjaman dan jaminan daripada institusi yang disokong kerajaan. Kedua-dua pihak bersetuju dana akan ditumpukan kepada sektor strategik seperti mineral kritikal, semikonduktor dan farmaseutikal.
Sebagai balasan, kebanyakan eksport Jepun ke AS akan dikenakan tarif 15 peratus berbanding ancaman tarif 24 hingga 25 peratus sebelum ini. – Bernama


