Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump ugut EU dengan tarif

    WASHINGTON, 20 DIS – Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini mengugut Kesatuan Eropah (EU) dengan tarif jika blok itu tidak mengurangkan jurang perdagangan ‘luar biasa’ dengan Washington melalui pembelian minyak dan gas.
     
    “Saya memberitahu EU bahawa mereka mesti menampung defisit besar mereka dengan AS dengan pembelian minyak dan gas kita secara besar-besaran,” kata Trump dalam satu catatan di platform Truth Socialnya pada awal pagi ini. “Jika tidak, tarif akan dikenakan.”
     
    Menurut angka AS, import barangan dari EU mencecah AS $553.3 bilion pada 2022, manakala eksportnya ke blok itu berjumlah AS$350.8 bilion.
     
    Ini meletakkan defisit perdagangan barangan AS dengan EU pada AS$202.5 bilion pada tahun itu.
     
    Trump, yang mengambil alih jawatan pada Januari, telah mengancam untuk mengenakan tarif ke atas rakan dagangan AS – termasuk Kanada, Mexico dan China – yang boleh memberikan kesan di seluruh ekonomi global.
     
    Donald Trump bercakap semasa sidang media di Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida pada 16 Disember 2024. – AFP
    Menuduh Kanada dan Mexico membenarkan AS dibanjiri dadah terlarang dan pendatang tanpa izin, beliau telah mengumumkan 25 peratus tarif import, sementara juga berikrar mengenakan sekurang-kurangnya 10 peratus terhadap China, saingan Washington di Asia Pasifik.
     
    Kanada, Mexico dan China membentuk tiga daripada rakan dagangan terbesar AS.
     
    Awal bulan ini, EU memuktamadkan perjanjian perdagangan besar-besaran dengan empat negara Amerika Selatan – Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay – yang bertujuan untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas dengan 700 juta pelanggan.
     
    Trump menegaskan bahawa tarif ‘digunakan dengan betul’ akan menjadi positif untuk ekonomi AS.
     
    “Negara kita sekarang kalah kepada semua orang,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Florida awal minggu ini. “Tarif akan menjadikan negara kita kaya.” – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda