Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump ugut Rusia tarif 100% jika tiada perjanjian Ukraine

    WASHINGTON, 15 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin mengugut mengenakan secondary tariff  sebanyak 100 peratus ke atas Rusia sekiranya tiada perjanjian dicapai untuk menamatkan perang di Ukraine dalam tempoh 50 hari, lapor Anadolu Ajansi.

    Dalam pertemuan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte di Pejabat Oval, Trump meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Rusia dan kekecewaannya terhadap Presiden Vladimir Putin.

    “Saya sangka perjanjian akan dicapai dua bulan lalu, tetapi nampaknya masih belum menjadi kenyataan. Jadi berdasarkan itu, kami akan melaksanakan secondary tariff. Jika tiada perjanjian dalam 50 hari, ia mudah saja – tarif itu akan dikenakan sebanyak 100 peratus,” katanya.

    Trump menyifatkan perang Ukraine yang bermula pada Februari 2022 sebagai ‘perang Biden’, merujuk kepada bekas Presiden Joe Biden.

    “Saya mahu ia berakhir. Ini bukan perang saya. Saya cuba bawa kamu keluar daripadanya,” katanya.

    Trump turut mengumumkan bahawa AS akan membekalkan senjata kepada Ukraine melalui NATO, namun kos sepenuhnya akan ditanggung oleh sekutu Eropah.

    “Kami capai satu persetujuan hari ini. Kami akan hantar senjata kepada mereka dan mereka akan membayarnya. AS tidak akan membuat sebarang bayaran. Kami tidak membelinya tapi kami akan hasilkan dan mereka akan menanggung kosnya,” katanya.

    “AS telah membuat keputusan untuk membekalkan Ukraine dengan keperluan penting melalui NATO, dan Eropah akan menanggung 100 peratus kosnya,” kata Rutte mengesahkan perkara itu.

    Trump turut mengesahkan bahawa sistem peluru berpandu Patriot buatan AS akan dihantar ke Ukraine dalam masa terdekat.

    “Beberapa negara yang memiliki sistem Patriot akan menggantikannya dan kami akan menghantar Patriot kami sebagai pengganti. Mark (Rutte) akan menyelaras perkara ini dengan NATO. Kami ada satu negara yang memiliki 17 sistem Patriot dan bersedia untuk dihantar,” katanya tanpa mendedahkan negara itu. 

    “Mereka tidak perlukan kesemuanya, jadi kami akan usahakan satu perjanjian agar kesemua 17 unit itu dihantar dan ia boleh dilakukan dengan segera,” tambah Trump. – Bernama/Anadolu 

    Presiden Donald Trump bercakap semasa majlis makan tengah hair di White House, Washington kelmarin. AS ugut Rusia dengan tarif 100%. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda