WASHINGTON, 8 Ogos – Pusingan pertama tarif yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke atas China akan mencecah sehingga AS$50 bilion dalam barangan mulai 23 Ogos depan, menurut pengumuman yang dibuat oleh kerajaan semalam.
Washington telah pun mengenakan tarif 25 peratus ke atas AS$34 bilion terhadap produk China pada 6 Julai lalu. Namun ia menangguhkan tarif terakhir yang berjumlah AS$16 bilion berikutan kebimbangan yang dicetuskan oleh beberapa buah syarikat di AS.
Meskipun tindakan tersebut diramalkan berlaku, ia menguatkan lagi pendapat bahawa tiada usaha dilakukan untuk mengurangkan pertikaian antara dua ekonomi terbesar dunia yang terus bertukar-tukar ancaman.
China telah bertindak balas dengan dutinya sendiri dan berjanji akan menyelaraskannya bersama tarif baharu ke atas AS, termasuklah tarif bernilai AS$16 bilion yang akan dikenakan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Amerika mengimport jauh lebih banyak berbanding China, bermakna Beijing mungkin perlu melihat kaedah tindakan balas yang lain.
Washington dan Beijing telah dibelenggu perselisihan berhubung tuduhan AS yang mengatakan ekonomi eksport China menerima faedah daripada dasar dan subsidi yang tidak adil, terutamanya daripada kecurian kepakaran teknologi Amerika. Trump, yang berbangga bahawa perang perniagaan ‘mudah untuk dimenangi,’ telah mengugut akan menambah tekanan dan mengenakan tarif ke atas hampir kesemua eksport China ke AS sekiranya Beijing tidak mengalah dan mengambil langkah untuk mengurangkan defisit dagangan AS berjumlah AS$335 bilion dengan negara itu.
Perbalahan terus meningkat, apabila Trump minggu lalu mengugut akan menambah kadar tarif ke atas AS$200 bilion import China yang dirancang disasarkan oleh pentadbirannya kepada 25 peratus, berbanding 10 peratus pada sebelumnya. – AFP