WASHINGTON, 2 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kelmarin berkata Rumah Putih perlu meneliti kemungkinan untuk mengusir Elon Musk, selepas usahawan bilionair itu mengkritik rang undang-undang cukai dan perbelanjaan presiden, lapor Xinhua.
Musk, yang berasal dari Afrika Selatan dan kini adalah warganegara AS, memuat naik beberapa hantaran kritikan hujung minggu lalu di media sosial terhadap ‘big, beautiful bill’ Trump.
Tokoh teknologi itu mengecam rang undang-undang itu kerana didakwanya menyumbang kepada peningkatan hutang negara AS.
Trump membalas pada Selasa dengan memuat naik kenyataan di media sosial dengan mengatakan bahawa Musk, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kenderaan elektrik Tesla itu marah kerana rang undang-undang itu memansuhkan kredit cukai untuk kenderaan elektrik.
Ini merupakan perkembangan terbaru dalam pertikaman lidah antara dua tokoh bilionair yang terus saling berbalas kenyataan pedas.
Rang undang-undang menyeluruh Trump, yang diluluskan Senat pada Selasa, merangkumi peningkatan perbelanjaan dalam pertahanan, pengeluaran tenaga dan keselamatan sempadan.
Trump juga memberi bayangan bahawa Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), sebuah organisasi yang dibantu penubuhannya oleh Musk untuk mengurangkan kos kerajaan, boleh digunakan untuk menyiasat syarikat milik Musk.
“Elon mungkin menerima lebih banyak subsidi berbanding mana-mana individu lain dalam sejarah, dengan margin yang besar,” kata Trump di media sosial. “Mungkin DOGE patut teliti perkara ini secara serius?”
Trump turut mengugut untuk menamatkan subsidi kerajaan yang memberi manfaat kepada syarikat milik Musk.
Musk pula berikrar akan menghukum ahli parlimen Republikan yang menyokong rang undang-undang Trump itu.- Bernama


