Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS akan jual jet pejuang F-35 kepada Arab Saudi

    WASHINGTON, 18 NOV – Presiden Donald Trump kelmarin mengumumkan Amerika Syarikat (AS) akan menjual pesawat pejuang F-35 kepada Arab Saudi, sehari sebelum Putera Mahkota Mohammed bin Salman tiba di Rumah Putih bagi mengadakan rundingan.

    “Kami akan lakukan itu. Kami akan menjual F-35,” kata Trump kepada pemberita ketika ditanya sama ada Washington bersetuju untuk menjual pesawat itu kepada Riyadh pada pertemuan hari ini. “Mereka sekutu yang hebat,” tambahnya.

    Riyadh sejak sekian lama berhasrat membeli jet pejuang F-35, yang ketika ini hanya dimiliki Israel di rantau Timur Tengah.

    Pegawai Israel telah menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan penjualan pesawat berkenaan kepada Arab Saudi, walaupun terdapat usaha untuk menormalkan hubungan dengan kerajaan itu.

    Dalam satu lagi isu yang pernah menimbulkan pertikaian, satu sumber yang mengetahui rundingan berkata Trump dan putera mahkota itu dijangka menandatangani satu perjanjian mengenai rangka kerja kerjasama nuklear awam.

    Arab Saudi, antara pengeluar minyak terbesar dunia, berkata negara itu mahu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan sedang melihat kepada teknologi maju AS menerusi perjanjian dikenali sebagai ‘Perjanjian 123’.

    Namun, perjanjian sedemikian tertakluk kepada peraturan ketat bagi mengelakkan percambahan senjata dan Kongres dijangka meneliti secara mendalam sebarang perjanjian menyeluruh.

    Arab Saudi menegaskan ia tidak berhasrat membangunkan senjata nuklear dan baru-baru ini menandatangani kerjasama pertahanan dipertingkatkan dengan Pakistan, sebuah kuasa nuklear.

    Setakat ini, AS hanya membenarkan penjualan F-35 kepada sekutu terdekat, termasuk beberapa negara NATO di Eropah dan Israel. – AFP

    Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda