Trump umum bantuan AS$19b untuk petani

WASHINGTON, 19 APRIL – Presiden Donald Trump mengumumkan pakej penyelamat kewangan berjumlah AS$19 bilion untuk membantu industri pertanian mengatasi krisis ekonomi yang dicetuskan oleh langkah untuk me-merangi koronavirus.

Trump beritahu sidang media bahawa kerajaan akan ‘melaksanakan program bantuan berjumlah AS$19 bilion untuk petani dan pemilik ladang tatkala mereka mengatasi kesan pandemik global.”

Program itu akan termasuk bayaran langsung kepada petani, pemilik ladang dan pengeluar yang dikatakan oleh Trump telah mengalami ‘kerugian besar ketika pandemik ini.”

Setiausaha Pertanian Sonny Perdue berkata petani AS telah terjejas teruk oleh peralihan besar dalam permintaan, tatkala sekolah dan restoran ditutup dan ramai warga Amerika makan di rumah.

Ia telah mengganggu rantaian bekalan makanan, memaksa petani di kebanyakan tempat memusnahkan hasil tenusu dan membajak tanaman yang tidak mempunyai pembeli. – AFP