WASHINGTON, 6 OGOS – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa mesyuarat antara AS dan Rusia bagi membincangkan kemungkinan gencatan senjata dalam konflik Rusia-Ukraine dijadualkan diadakan hari ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Kami ada mesyuarat dengan Rusia esok,” kata Trump kepada wartawan kelmarin. “Kita akan lihat apa yang berlaku,” tambahnya.
Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung hanya beberapa hari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Trump kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, untuk mencapai gencatan senjata dalam peperangan di Ukraine.
Presiden AS itu tidak memberikan butiran lanjut, termasuk siapa yang akan menghadiri mesyuarat itu.
Pada Ahad, Trump menyatakan beliau merancang untuk menghantar utusan khasnya Steve Witkoff, ke Rusia pada pertengahan minggu.
Trump berkata beliau berhasrat untuk mengenakan sekatan sekiranya tarikh akhir itu yang akan berakhir pada Jumaat berlalu tanpa sebarang hasil. Langkah itu bertujuan menyasarkan negara yang membeli minyak dan gas Rusia bagi menyekat keupayaan Moscow membiayai peperangan di negara jiran, Ukraine.
Presiden AS itu turut mengumumkan pada Isnin, hasratnya untuk menaikkan tarif ke atas India disebabkan perdagangan berterusan negara itu dengan Moscow. Beliau, bagaimanapun tidak menyatakan kadar tarif yang bakal dikenakan. – Bernama


