LONDON, 29 JULAI – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kelmarin mengumumkan bahawa pusat agihan makanan akan ditubuhkan di Gaza yang membolehkan penduduk ‘masuk tanpa sebarang halangan’, sambil mengakui secara terbuka bahawa ‘kebuluran sebenar’ sedang berlaku di wilayah itu, lapor agensi Anadolu.
“Kita boleh selamatkan ramai orang. Maksud saya, sebahagian kanak-kanak itu — itu memang kebuluran sebenar.
“Saya melihatnya dan perkara sebegitu tidak boleh dipalsukan. Jadi kita akan terlibat dengan lebih serius.
“Sebelum kita lakukan apa-apa, kita mesti beri makan kepada kanak-kanak terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Britain Keir Starmer di Scotland.
Beliau turut menyatakan bahawa Israel mempunyai tanggungjawab besar terhadap bekalan makanan di Gaza.
‘Kita perlu menangani keperluan kemanusiaan’ di Gaza, katanya sambil menambah bahawa pusat agihan makanan akan diwujudkan dengan kerjasama pihak-pihak yang dipercayai dan pembiayaan akan disalurkan.
Trump turut memaklumkan bahawa negara lain termasuk United Kingdom (UK) akan turut serta dalam menyumbang dana bagi bantuan makanan.
Dalam sidang media itu, Trump dan Starmer sepakat bahawa bantuan perlu disalurkan ke Gaza dan satu gencatan senjata perlu dilaksanakan segera.
Starmer menyifatkan kebuluran di Gaza sebagai sesuatu yang ‘tidak dapat diterima’.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri UK selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin memulakan perbincangan mengenai Gaza dan bersetuju bahawa tindakan segera perlu diambil bagi menamatkan penderitaan.
“Bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan masuk secara meluas dan pantas,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut berikrar untuk bekerjasama menamatkan penderitaan dan kebuluran, serta terus mendesak pembebasan segera tawanan yang masih ditahan.
Mereka turut mengulangi gesaan agar gencatan senjata dilaksanakan segera sebagai jalan ke arah keamanan berkekalan di rantau berkenaan dan Starmer berkongsi perancangan yang sedang digerakkan bersama pemimpin Eropah lain untuk mencapai penyelesaian jangka panjang.
Ketika ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan kontroversi Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa ‘tiada kebuluran di Gaza’, Trump menjawab: ‘Tidak begitu’.
“Saya tidak pasti. Berdasarkan siaran televisyen, saya rasa tidak begitu, sebab kanak-kanak itu kelihatan sangat lapar,” katanya.
Beliau berkata AS sedang menyalurkan bantuan kewangan dan makanan, manakala Starmer menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza sebagai ‘bencana mutlak’. –Bernama
