Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump umum siri tarif baharu berkuat kuasa 1 Oktober

    WASHINGTON, 26 SEPT – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kelmarin, mengumumkan bahawa selain tarif timbal balik berskala besar yang telah dikenakan secara global, duti khusus terhadap beberapa produk tertentu akan mula berkuat kuasa bermula 1 Oktober.

    Trump mengumumkan tarif 25 peratus bermula 1 Oktober ke atas ‘kenderaan berat (besar!)’ yang dihasilkan di luar AS.

    “Kita perlu memastikan para pemandu lori kita kekal kukuh dan stabil dari segi kewangan atas banyak sebab, tetapi paling utama demi keselamatan negara!” katanya dalam satu hantaran.

    Harga perabot untuk ruang tamu dan ruang makan pula naik 9.5 peratus sepanjang 12 bulan lalu.

    Bagi sektor farmaseutikal, Trump berkata pada Ogos bahawa AS akan memulakan dengan ‘tarif rendah’ ke atas ubat import sebelum dinaikkan kepada 150 peratus dalam tempoh 18 bulan dan akhirnya 250 peratus.

    President AS akan mengumumkan siri tarif baharu pada 1 Oktober – AFP

    Syarikat farmaseutikal AS mengambil serius ancaman tarif Trump, lapor media, kelmarin.

    Beberapa syarikat merancang membina atau memperluas operasi pengilangan di AS pada tahun-tahun mendatang. Namun bagi pengeluar kecil, masih sukar untuk menjangkakan tahap pendedahan yang bakal dihadapi.

    Mahkamah Agung AS pada Oktober dijadualkan meneliti sama ada pentadbiran Trump boleh menggunakan kuasa darurat untuk mempertahankan pelaksanaan tarif besar-besaran terhadap negara lain.

    Terdahulu, Trump turut mengumumkan, “Bermula 1 Oktober 2025, kami akan mengenakan tarif 100 peratus terhadap sebarang produk farmaseutikal berjenama atau dipatenkan, kecuali jika syarikat sedang membina loji pengeluaran farmaseutikal mereka di Amerika.

    “Kami juga akan mengenakan tarif 50 peratus terhadap semua kabinet dapur dan produk berkaitan bermula 1 Oktober 2025.

    “Selain itu, kita akan mengenakan tarif 30 peratus terhadap perabot upholsteri,” katanya menerusi hantaran di media sosial, kelmarin.

    Ketika pentadbiran Trump mengenakan tarif terhadap keluli dan aluminium, tembaga serta kenderaan, syarikat automotif AS dilaporkan mempertimbangkan untuk mendapatkan lebih banyak komponen dari Mexico bagi memanfaatkan konsesi di bawah Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA).

    Menurut Biro Statistik Buruh, akibat tarif, harga perabot di pasaran AS pada Ogos 2025 meningkat 4.7 peratus berbanding Ogos 2024. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda