WASHINGTON, 27 MAC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin mengumumkan tarif tinggi ke atas import kenderaan dan alat ganti, satu langkah yang dijangka meningkatkan ketegangan dengan rakan dagang sebelum pelaksanaan cukai tambahan minggu hadapan.
“Apa yang akan kami lakukan adalah mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua kenderaan yang tidak dibuat di AS,” kata Trump ketika menandatangani perintah itu di Pejabat Oval.
Langkah tersebut akan berkuat kuasa pada pukul 12:01 pagi waktu timur, 3 April dan akan menjejaskan kenderaan serta trak ringan yang dibuat di luar negara. Beberapa alat ganti utama kenderaan juga akan dikenakan tarif dalam tempoh sebulan.
Penasihat kanan Trump bagi perdagangan dan pembuatan, Peter Navarro, dalam satu taklimat mengkritik ‘penipu perdagangan asing’ yang menurutnya telah menukar sektor pembuatan Amerika yang dahulunya berkembang pesat menjadi operasi pemasangan bergaji rendah untuk alat ganti asing.
“Ia mengancam keselamatan negara kita disebabkan ia telah menghakis asas industri pertahanan dan pembuatan kita,” katanya.
Navarro turut menyasarkan Jerman dan Jepun kerana memperuntukkan pembinaan alat ganti bernilai tinggi di negara mereka sendiri.
Sejak kembali ke jawatan presiden pada Januari, Trump telah mengenakan tarif baharu ke atas import dari rakan dagang utama seperti Kanada, Mexico dan China, termasuk duti 25 peratus ke atas keluli dan aluminium.
Tarif terbaharu tersebut akan dikenakan sebagai tambahan kepada duti sedia ada.
Namun, Rumah Putih menjelaskan bahawa kenderaan yang memasuki pasaran di bawah Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA) layak mendapatkan kadar lebih rendah bergantung kepada kandungan buatan Amerika.
Begitu juga, alat ganti kenderaan yang mematuhi peraturan USMCA akan kekal bebas tarif sementara pegawai menetapkan proses untuk mengenakan duti ke atas kandungan bukan buatan AS. – AFP
