BANGKOK, 9 OKT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengutus surat kepada Perdana Menteri Thailand dengan mengatakan beliau mahu melihat negara itu dan jirannya Kemboja menyelesaikan ketegangan sempadan, kata Anutin Charnvirakul hari ini.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Thailand kelihatan menolak peranan berterusan Trump, yang mengejar Hadiah Nobel Keamanan, dalam sebarang rundingan lanjut antara kedua-dua buah negara dengan tujuan menyelesaikan pertikaian sempadan mereka.
Ketegangan wilayah yang tercetus pada Julai lalu menjadi pertempuran tentera paling dahsyat antara Kemboja dan Thailand dalam beberapa tahun, membunuh lebih 40 orang dan memaksa kira-kira 300,000 meninggalkan rumah mereka.
Kedua-dua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata, di mana Trump menjadi perantara, selepas pertempuran lima hari dan sejak itu saling tuduh-menuduh mengenai pelanggaran gencatan senjata.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet kemudian berkata beliau mencalonkan presiden AS untuk Hadiah Keamanan Nobel, memuji beliau dengan diplomasi inovatif kerana menamatkan pertempuran tentera.
“Presiden Trump telah mengutus surat kepada saya menyatakan hasratnya untuk melihat kedua-dua negara, Thailand dan Kemboja, berunding untuk mencari penyelesaian terhadap konflik itu,” kata Anutin kepada pemberita hari ini di Bangkok.
“Saya akan membalasnya dengan pendirian kami… dan jika Kemboja mempersetujuinya, Thailand bersedia untuk mengikuti proses tersebut,” kata Anutin. – AFP


