Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    TRW buru kemenangan dua gol di Likas

    KOTA BHARU, 28 OKT – Cabaran getir menanti Kelantan The Real Warrior (TRW) yang bukan sahaja perlu menang, malah wajib menjaringkan dua gol tanpa bolos pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.
     
    Penolong jurulatih TRW, Akmal Rizal Rakhli, berkata skuad bimbingannya berlepas ke Kota Kinabalu dengan misi jelas membawa pulang kemenangan 2-0 bagi mengesahkan slot ke separuh akhir saingan musim ini.
     
    “Kami sedar bukan mudah menentang Sabah FC, apatah lagi bermain di tempat lawan yang mempunyai ramai pemain berpengalaman termasuk tonggak kebangsaan dan import berkualiti.
     
    “Malam esok kami tiada pilihan selain mencatat kemenangan 2-0 bagi memastikan laluan ke separuh akhir selepas tewas 1-2 di gelanggang sendiri minggu lalu,” katanya kepada Bernama, hari ini.
     
    Berdasarkan keputusan semasa, kelebihan nyata memihak kepada Sabah FC, namun TRW masih berpeluang sekiranya berjaya menundukkan tuan rumah dengan kemenangan bersih dua gol tanpa balas.
     
    Akmal berkata sekiranya skuadnya tidak mampu menamatkan 90 minit dengan keputusan 2-0, kemenangan 1-0 sudah cukup untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
     
    “Jaringan di Likas amat penting. Jika tidak mampu menang 2-0, kemenangan 1-0 masih membuka ruang ke sepakan penalti. Pemain perlu beri tumpuan penuh dan elak kesilapan yang boleh mengundang padah,” katanya. – Bernama
     
    Akmal Rizal Rakhli ketika ditemu bual media selepas Majlis pelancaran Astro X Liga Malaysia 2025-2026 di Courtyard by Marriott, Kuala Lumpur pada 31 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda