Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Sumbangan Dayang Tsara’ Nawwarah binti Abdullah Chen dalam Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), mendapat pengiktirafan daripada Ratu Elizabeth II apabila menerima Anugerah Point of Light Komanwel.
Dayang Tsara’ Nawwarah yang merupakan naib pengerusi YASKA telah menerima anugerah tersebut daripada Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam, Natalie Gowers-Barnes, kelmarin.
Pakar terapi kanan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) berkenaan merupakan yang ketiga di negara ini menerima anugerah berkenaan, sebagai penerima Hadiah Komanwel ke-106 atas kerja cemerlangnya dengan YASKA. Dayang Tsara’ Nawwarah berkhidmat dengan YASKA sejak 2011 bagi memberi sokongan kebajikan kepada kanak-kanak yang menghidap kanser termasuk terlibat dalam beberapa kegiatan untuk menghibur mereka semasa di luar hospital.
Bukan itu sahaja, beliau turut membimbing kanak-kanak berkenaan dengan harapan dan membantu merealisasikan harapan mereka. Ketika membantu seorang pesakit kanak-kanak yang mengidap retinoblastoma pada umur yang sangat muda, beliau telah mengatur segala perancangan untuk memenuhi cita-cita pesakit untuk menjadi seorang polis dan ia menjadi kenyataan apabila Pasukan Polis Diraja Brunei mengadakan satu upacara khas untuk pesakit berkenaan.
“Jika saya boleh membuat hasrat itu menjadi kenyataan untuk mereka, tidak kira betapa kecil atau besarnya permintaan itu, saya akan mencuba yang terbaik. Semua ini hanya akan terjadi sokongan dan bantuan semua yang terlibat,” ujar Dayang Tsara’ Nawwarah.
Beliau juga memastikan kanak-kanak sentiasa mendapat sokongan semasa berada di hospital, melalui perkongsian dengan Kementerian Pendidikan untuk menganjurkan permainan terapeutik. Ketika menerima pengiktirafan itu, Dayang Tsara’ Nawwarah, berkata, “Saya memang sangat bersyukur dan berbesar hati kerana dipilih untuk menerima anugerah ini dan saya sedikit pun tidak pernah terfikir untuk menerimanya.”
Timbalan pesuruhjaya tinggi British, dalam kenyataan diberikan menjelaskan, mereka diperkenalkan kepada Dayang Tsara’ Nawwarah buat kali pertama pada Februari lalu apabila mereka datang melawat bersama penyanyi Inggeris, Joss Stone sebagai sebahagian lawatannya.
“Kami sangat kagum dengan kerja-kerja yang mereka sumbangkan di Hospital RIPAS dalam memberi sokongan kepada YASKA,” ujarnya.
